Ayo ke TPS

Minangkabau Cultural Landscape: Warisan Berzaman

-

Jum'at, 03/09/2021 17:47 WIB
-

-

OLEH Mohd Ramzi Mohd Hussain (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuala Lumpur)

Coretan ini bermula dengan merungkai maksud perkataan “budaya”, “landskap”, dan “cultural landscape/landskap budaya” itu sendiri. Budaya atau “culture” berasal dari perkataan latin “colere” yang bermaksud apa sahaja tingkah laku manusia dari menanam dan menghuni sehinggalah kepada menjaga dan melindungi.

“Budaya” digambarkan lagi sebagai huraian dan coretan tentang sekelompok manusia yang memiliki nilai kehidupan yang disebarkan kepada orang lain melalui kaedah “enculturation” (pemahaman ciri dan norma budaya secara beransur-ansur).

“Budaya” juga merupakan suatu simbol, makna dan adaptasi kehidupan harian yang melambangkan simbolik sesuatu peradaban kehidupan manusia yang berinteraksi sesama manusia; interaksi manusia dengan alam sekitar dan interaksi manusia dengan penciptaNya untuk kelangsungan kehidupan dengan lebih bermakna.

Dalam pada itu, istilah “landskap” menggabungkan “tanah/alam sekitar” dengan kata yang berasal dari Bahasa Jerman kuno, kata kerja “scape/scapjan” yang bermaksud: bekerja, sibuk, melakukan sesuatu yang kreatif – samada melalui perancangan ataupun yang terlintas di dalam benak fikirannya.

Semasa evolusi Jerman, “scapjan” menjadi “schaffen” dalam Bahasa Jerman. “Schaffen” atau “membentuk/shaping” yang boleh dibentuk oleh elemen atau kekuatan alam yang menghasilkan “landskap semulajadi” secara tidak sengaja membentuk “cultural landscape/landskap budaya” sesuatu tempat.

“Landskap” juga adalah ungkapan susasana setempat dari segi iklim, tumbuh-tumbuhan, struktur geologi yang membentuk latar belakang tempat tersebut. Pemandangan semulajadi yang terdiri dari kepelbagaian flora dan fauna umpamanya memberi latar yang begitu subjektif kepada semua makhluk yang berinteraksi dengannya.

BACA: Hari Ini, Pameran Etnofotografi Edy Utama Dibuka Wakil Gubernur Sumbar

Tambahan pula, kawasan olahan manusia seperti bendang padi dan dusun buahan merupakan perisa yang tersendiri kepada citarasa suasana keindahan yang menjadi rutin kepada kehidupan persekitaran setempat. Gabungan ini secara langsung menjadi tulang belakang kepada lahirnya cultural landscape/landskap budaya yang utuh lagi unik.

Phenomenal of Cultural Landscape/Landskap Budaya

Cultural landscape pada dasarnya merupakan fenomena kompleks dengan identiti ketara dari idea dan interaksi yang memberi kesan pada persepsi luar biasa. Alam sekitar merupakan paksi utama di dalam coretan lengkap landskap budaya, di mana aktor utama adalah manusia yang meneruskan kesinambungan di dalam kehidupan.

Oleh itu landskap budaya merangkumi refleksi dan interaksi antara manusia dan persekitaran demi ruang dan anjakan waktu yang dinamik. Cultural landscape juga digambarkan sebagai aktiviti dan pengalaman manusia yang merentasi masa lalu dan akan dating yang membentuk identiti, tradisi, kepercayaan, nilai, norma dan makna budaya sesuatu tempat.

BACA: Pameran Etnofotografi Edy Utama, Wagub Sumbar: Foto Membongkar Memori 

Dari sudut panadangan Islam, cultural landscape memperlihatkan gagasan untuk mengungkap dan mengekalkan kepelbagaian interaksi antara manusia dan persekitarannya.

Islam menekankan betapa pentingnya hubungan manusia dengan alam sekitar dan pergaulan yang melibatkan kedua-dua hubungan ini ditekankan berulang kali dalam Al-Quran. Oleh kerana kepentingannya, coretan ini akan memfokuskan pada Minangkabau cultural landscape untuk memastikan nilai, kepercayaan dan tradisi warisan terpelihara dengan baik.

Warisan Berzaman Minangkabau Cultural Landscape

Warisan Minangkabau cultural landscape dianggap warisan yang sangat berharga yang melambangkan penyatuan peradaban manusia yang merentasi masa di dalam linkungan alam semulajadi yang sangat unik. Tampak keindahan bukit bukau dan tumbuhan menghijau menyegarkan lagi kemasyuran warisan cultural landscape Minangkabau. Tanah Tradisi Minangkabau di Sumatera adalah istimewa kerana keunikannya dari segi budaya, tradisi, senibina, bahasa lisan, seni persembahan, kraf tangan, masakan dan kesusasteraannya.

BACA: Pameran Etnofotografi Edy Utama, Saksi Pergeseran Lanskap Minangkabau

Untuk menggambarkan dengan lebih jelas hasil seni kreatif Saudara Edy Utama di dalam pameran Etnofotografinya, saya coretkan keindahan warisan berzaman Minangkabau Cultural Landscape melalui Bongai/ Lantak Kuda/ Rentak Kuda.

Bongai merupakan pantun yang dipersembahkan secara berlagu untuk menggambarkan suasana kehidupan harian yang berkait rapat dengan alam semulajadi yang indah lagi harmoni yang membentuk jati diri budaya dan masyarakat Minangkabau.

Setiap rangkap dan bait-bait Bongai memberi seribu makna yang tersurat dan tersirat dan memberi teladan dan petunjuk kepada kelangsungan kehidupan di dalam masyarakat Minangkabau. Inilah merupakan salah satu intipati dan paksi keunikan Minangkabau Cultural Landscape yang dibawa oleh pantun hasil daripada hubungan yang utuh dengan alam sekitar sehingga kini.

Pantun Bongai

“pueh la sudah monanam koladi ubi lah juo
dipandang orang...
sayang kalau sudi katakan
sudi tidaklah ese tonanti-nanti

pueh lah ayo monanam ubi noneh lah juo
ditanam orang...
sayang pueh lah ayo
menabur budi omeh lah juo dipandang orang

baik lah baik monanam ubi
biarlah ubi subur sendiri...
sayang baiklah baik menabur budi
janganlah budi tormakan diri

makan lah sireh berpinang tidak
pinang lah ado isi eh mudo...
sayang makan lah sireh
mengonyang tidak
togah dek budi dongan bahaso

subur lah subur si bungo padi
padi dipotong tongah berbungo...
sayang pandai lah pandai menabur budi
jangan lan sampai dapek bencano”

 

Dua rangkap pertama setiap pantun ini penuh dengan ungkapan keindahan yang terdapat di ruang lingkup kehidupan masyarakat Minangkabau yang berlatar belakangkan sawah padi, bendang, sungai, jeram, bukit-bukau yang menhijau di kala deruan angin menghembus sekitarnya. Tumbuhan yang menghiasi pula penuh dengan fungsi dan hasilnya kepada kelangsungan kehidupan. Ini merupakan ilmu alam yang nyata dan jelas memberi manfaat kepada pembutukan Minangkabau Cultural Landscape.

BACA: Edy Utama: Etnofotografi Harus Jadi Objek Kajian Budaya

Dan pula setiap dua rangkap terakhir pantun ini memberi ilmu yang tersirat di dalam mengajar dan memberi pengetahuan kepada masyarakat Minangkabau terhadap kehidupan seharian dan membentuk jiwa dan perlakuan di samping mengakui yang alam semulajdi adalah suatu azimat yang sangat bermakna yang dikurniakan PenciptaNYA, Allah s.wt.

Jelas sekali, Minangkabau Cultural Landscape menjadi nadi utama kepada pembentukan budaya masyarakat Sumatera sebagai suatu hubungan yang erat lagi digeruni mewarisi warisan berzaman yang tak lapok dek hujan, tak lekang dek panas.

Warisan Berzaman Minangkabau Cultural Landscape ini perlu diwarisi sebagai tradisi yang membentuk rohani di sanubari untuk generasi yang akan datang. Hubungan antara manusia dan alam sekitar ini jelas sekali mengukuhkan hubungan manusia dengan PenciptaNYA.

Dan di dalam pameran seni kreatif Saudara Edy Utama ini, kelangsungan keindahan Etnofotografinya melalui Minagkabau Cultural Landscape telah berjaya menjadi titik tolak kepada pemuliharaan Minangkabau Cultural Landscape sebagai Warisan Berzaman. Alam akan tetap menjadi GURU yang tiada tandingannya dalam kita menyelusuri kelangsungan hidup. Alam juga memberi kita keinsafan dalam memahami dengan lebih jauh betapa hebat anugerah dariNya- Allah s.w.t.

Wassalam

 

Kpu

BACA JUGA